- Holobox Din


Pada ketika ini, Rambozzi® sangat tertekan dengan kerumitan "beberapa" projek yang masih belum berjaya Rambozzi® siapkan. Hati Rambozzi® sangat sengsara. Jiwa Rambozzi® sangat derita. Bunga² dalam taman di dalam hati Rambozzi® telah layu. Ada yang gugur. Ada yang masih di tangkai, tapi menunduk layu. Dalam taman di dalam hati Rambozzi® ini ada banyak bunga. Bunga teratai, bunga melor, bunga kenanga, bunga anggerik, bunga seri pagi, bunga lili, bunga ros, bunga kekwa, bunga kubur... Tapi tak terjaga! Oh sungguh Rambozzi® tak pandai menjaga bunga! Oh! Maafkan Rambozzi®. Ampunkan Rambozzi®. Ampun pak! Heh heh heh heh...

Buah²an tempatan dalam kebun di dalam hati Rambozzi® juga tak ingin berbuah! Buah durian ada la 2-3 bijik, tapi duri pulak takde! Buah rambutan pun ada lagi sikit tapi dah takde rambut! Hahahahaha! Oh ya! Dalam hati Rambozzi® juga ada 'fountain''Fountain' itu telah kering! Ok itu dah mengarut sangat dah kan hahahahahaha!

Sebenarnya, ini adalah projek "paling sukar" dalam "woodworking" Rambozzi® ini. Projek ini menampakkan dengan jelas, "kelemahan²" Rambozzi® di dalam "woodworking" ini. Projek ini juga menunjukkan bahawa "betapa susahnya nak mengawal sesuatu yang memang takkan boleh dikawal" -  tanpa kemahiran dan mesin yang lengkap dan mencukupi! Projek ini paling memerlukan ketepatan dan ketelitian.

Projek ini juga adalah projek yang sangat banyak memerlukan penggunaan "mesin derita" Rambozzi® iaitu 'mini router/trimmer'.  Rambozzi® tulis perkataan 'mini router/trimmer' nie pun dah rasa nak "menangis" dah nie! Hahahahahaha!

Din telah menghubungi Rambozzi® tidak berapa lama dulu. Din "menemui" blog Rambozzi® ini dan Din sangat yakin Rambozzi® boleh membantunya membuat apa yang diinginkannya, iaitu sebuah 'holobox'. Serius! Rambozzi® memang tak pernah tahu, tak pernah dengar tentang benda ini! Dan bila Din tunjukkan gambarnya kepada Rambozzi®, dengan yakinnya Rambozzi® merasa yakin bahawa Rambozzi® yakin tak boleh membuatnya! Tapi lain pula halnya dengan Din. Sungguh² Din merasa yakin dengan kemampuan Rambozzi® dan sungguh² juga Din meyakinkan Rambozzi® pula supaya membantunya.

Bro... Hati Rambozzi® nie kan sangat sensitif? Hati Rambozzi® ini juga sangat lembut. Dan juga sangat mudah pecah macam kaca. Fragile! Tapi untuk meminta maaf dan memaafkan adalah hati suci Rambozzi®Rambozzi® takkan malu untuk meminta maaf dan Rambozzi® sentiasa "memaafkan" walaupun hati Rambozzi® ini hancur dihempas ke lantai. Kaca kan? Heh heh heh heh. Jadi, mana mungkin Rambozzi® "mengecewakan" permintaan Din ini. Lagipun, Rambozzi® rasa, macam boleh buat je hehehehehehe...

Jadi. So. Din bentangkan kepada Rambozzi® apa yang dikehendakinya. Setelah berbincang dengan panjang lebar, Rambozzi® bersetuju dan menerima projek ini.

Oraits. Seperti biasa, dengan ungkapan yang akan Rambozzi® ungkapkan sehingga berakhir hayat Rambozzi® ini, jom mulakan 'woodworking' kali ini - Holobox Din.


Rambozzi® mulakan dengan bahagian yang paling susah dan kritikal dahulu. 'Holobox' atau kotak ini akan diletakkan sebuah TV ke dalamnya. Dan di bahagian belakang TV tu ada macam² la. Alah belakang TV..... Ada 'port' untuk wayar, kabel dan macam² jenis tali lagi. Jadi,ia memerlukan satu slot khas untuk memudahkan wayar² itu dimasukkan ke dalam kotak ini. Dan Rambozzi® kena selesaikan masalah itu dahulu. Rambozzi® kena tebuk lubang² yang sesuai untuk wayar² itu dahulu.

Dengan menggunakan 'drill press'Rambozzi® pasangkan 'forstner drill bit' dan tebuk beberapa lubang pada kayu. Lihat gambar di atas. Rambozzi® hanya tebuk agak rapat ke garisan yang telah dilukiskan di atas kayu itu. Rambozzi® akan kemaskan lagi bentuk lubangnya dengan menggunakan 'mini router/trimmer' pula nanti.


Ok. Itulah lubang² yang Rambozzi® maksudkan tadi. Maaf. Rambozzi® tidak sempat nak ambil gambar² proses menebuk dan membentuk lubang² itu. Sebab, untuk menebuk dan membentuk lubang² pada kayu di atas itu, Rambozzi® sangat tertekan. Sila 'refer' perenggan pertama tadi heh heh heh heh...


Oraits. Kayu² yang siap ditebuk tadi Rambozzi® gam dan skrukan pula ke sebatang lagi kayu. Rambozzi® terpaksa menggunakan cara itu kerana Rambozzi® masih amatur, Rambozzi® tidak tahu bagaimana hendak menebuk dan membentuk lubang² tadi dengan kemas. Jadi, Rambozzi® terpaksa buat satu persatu. Bila kayu itu dicantumkan, barulah ia menepati ketebalan kayu yang Rambozzi® perlukan untuk bahagian pertama projek ini. Agak sukar. Agak banyak proses. Tapi itu memang bukan penghalang bagi Rambozzi®.


Ok. Kayu² yang dicantumkan menjadi 1 tadi akan digam dan diskrukan pula membentuk 1 kotak. Gambar di atas menunjukkan bahagian² kayu untuk membuat kotak ini, termasuk tapaknya sekali.


Dan itulah bahagian pertama projek ini. Sangat susah bagi Rambozzi®! Sangat 'complex'! Sangat perit! Sangat derita!

Rambozzi® terpaksa berhenti dan menangis sekejap. Susah, bro! Hahahahaha!


Kemudian, Rambozzi® potong lagi kayu² dan bina pula bahagian penutup untuk kotak tadi. Berpandukan kepada anak panah merah di dalam gambar di atas, 2 batang kayu itu adalah untuk memastikan bahawa penutup ini masuk tepat ke dalam kotak tanpa bergerak² kiri kanan. Itu hanya idea Rambozzi®. Sebab Rambozzi® akui agak susah untuk memastikan penutup dan kotak itu sama tepat. Ini kerana sedikit kecacatan pada tebal dan lebar kayu akan mengganggu ketepatan potongan kayu² yang Rambozzi® gunakan.


Seterusnya, Rambozzi® akan tampalkan 'plywood' pula ke kotak dan penutupnya tadi.


Rambozzi® ukur dan potong 'plywood' di atas kepada saiz² yang diperlukan dengan hanya menggunakan 'cutter knife'. Kepingan² 'plywood' itu akan dilekatkan ke kotak dan penutup tadi.


Selesai proses menampal 'plywood' ke kotak dan penutup tadi, Rambozzi® tebuk satu lubang kecil di atas 'plywood', untuk lubang slot tadi. Rambozzi® akan 'trim' atau 'route' dengan menggunakan 'mini router/trimmer' pula.


Oraits. Itulah hasilnya setakat ini. Berpeluh juga Rambozzi® hahahaha...


Seterusnya, Rambozzi® potong pula kepingan² 'laminate' untuk ditampalkan ke atas kotak yang disiap ditampal 'plywood' tadi. Ok, ini satu lagi kerja yang memerlukan ketelitian dan 'feel' yang "melampau" heh heh heh heh... Tak apa, Rambozzi® "yakin" boleh membuatnya.


Sama seperti proses menampal dan 'trim' 'plywood' tadi, kotak ini berjaya ditampal 'laminate' dengan kemas.


Oraits. Pada ketika ini, selepas siap kotak seperti di dalam gambar di atas, Rambozzi® perlu berehat sekejap. Penat, bro! Tangan penuh gam. Ada beberapa tempat pada lengan Rambozzi® yang "tercalar" dan "terluka" terkena ketajaman 'laminate'. Hidung Rambozzi® bersumbat dengan habuk² 'plywood' dan 'laminate'. Dalam paru² jangan cakap la berapa banyak habuk yang dah masuk kan hahahaha. Takpe, inilah "hidup" Rambozzi®...


Rambozzi® pasangkan pula besi² bulat itu di bahagian bawah kotak untuk TV ini.


OraitsRambozzi® akui, "dengan sejujur²nya"Rambozzi® memang amatur! Hahahahaha! Lihat gambar di atas. Nampak dengan jelas ketidaktepatan di antara penutup dengan kotak itu. Rambozzi® kongsikan di sini sebab, Rambozzi® nak "dunia" tahu, bahawa Rambozzi® ini "bukan yang terbaik". Tapi tetap Rambozzi® "cuba sebaik yang mungkin", bersandarkan kepada keyakinan Din kepada Rambozzi®. Apa² pun, Rambozzi® kena cuba kemaskan lagi mana² yang terkurang untuk projek ini.




Oraits. Itulah rupanya apabila TV dimasukkan ke dalam kotak ini.


Seterusnya, Rambozzi® buat pula bahagian bawah atau tapak untuk 'holobox' ini. Sama sahaja tekniknya, buat rangka, tampal 'plywood' dan tampal 'laminate'. Di bahagian tapaknya Rambozzi® skrukan 4 lagi besi bulat, tapi 'diameter'nya lebih besar daripada tadi, dan lebih tinggi. Jadi, besi bulat pada 'holobox' itu boleh masuk ke dalam besi bulat di atas tapaknya. Sangat ringkas. Tapi tidak pula mudah heh heh heh heh...


Dan itulah hasilnya. Siap setakat ini projek Holobox Din ini. Dan Rambozzi® letakkan piramid yang dibekalkan oleh Din ke tempatnya. Ok. Terus-terang Rambozzi® katakan di sini, Rambozzi® memang tidak tahu mengenai fungsi piramid apatah lagi 'holobox' ini. Ini adalah sesuatu yang asing bagi Rambozzi®. Cuma yang Rambozzi® tahu, apa yang ada di dalam gambar di atas hanyalah bahagian 1 daripada 3 bahagian keseluruhan projek ini. Rambozzi® akan tunjukkan dahulu hasil kerja Rambozzi® setakat ini kepada Din, dan lihat bagaimana "penerimaan" Din nanti.

Projek ini masih belum siap, begitu juga dengan "woodworking" Rambozzi® di sini. "Perjalanan masih jauh"Rambozzi® kena berehat sebentar. Rambozzi® kena "berlapang dada", walaupun di dalam dada Rambozzi® ini ada gelora melanda heh heh heh heh. Bahagian kedua dan ketiga projek ini lebih mencabar. Rambozzi® tak boleh mengalah. Rambozzi® takkan mengalah. Rambozzi® ada "hidup" dan "cinta" yang perlu diteruskan. "Hidup" dan "cinta" ini perlu diteruskan, dengan "pengorbanan"... "Berkorban apa saja" - itu bukan untuk Rambozzi®. "Berkorban apa saja" itu bukan untuk kepentingan Rambozzi®. Sebab itu, pada hari itu, Hang Tuah nyanyikan kepada Tun Teja:-

"kepentingan sendiri tidak diingini...
bahagia kekasih saja yang diharapi..."

0 Comments