Rambozzi, Love & Woodworking...

Rambozzi, Love & Woodworking...

  • Home
  • Download
  • Social
  • Features
    • Lifestyle
    • Sports Group
      • Category 1
      • Category 2
      • Category 3
      • Category 4
      • Category 5
    • Sub Menu 3
    • Sub Menu 4
  • Contact Us

"Semalaman ku tak lena
Bayangmu menjelma
Rindu semakin menyala
Bagai gelora di dalam dada..."

Aduh...Memang Rambozzi® tak lena tidur la hahahaha! Ok. Macam nie ceritanya... 

Pada suatu hari... Rambozzi® telah menerima "wassap" dari seorang 'journalist' sebuah majalah tempatan (Rambozzi® akan maklumkan nama majalah ini kemudian sebab ia belum diterbitkan lagi, jadi baik Rambozzi® berhati² heh heh heh heh), yang menawarkan satu sesi penggambaran kepada Rambozzi® untuk dimuatkan ke dalam ruangan 'D.I.Y' di dalam majalah mereka. Wah! Ini satu peluang yang memang Rambozzi® takkan lepaskan! Hahahaha! Rambozzi® rasa sangat teruja, sangat gembira dan ahhh susah nak cakap la hahaha! Aduh... Ini sesuatu yang di luar jangkaan Rambozzi®... Memang Rambozzi® tak sangka langsung... Ini satu khabar gembira buat Rambozzi®...

Jadi... Pihak majalah ini telah meminta Rambozzi® buatkan satu perabot secara 'D.I.Y' - khusus untuk ruangan 'D.I.Y' di dalam majalah itu. Dan mereka akan datang membuat sesi penggambaran untuk proses pembuatannya. Dalam erti kata mudah, "dorang nak datang ambik gambar Rambozzi® tengah 'woodworking'!" Heh heh heh heh heh heh... 

Jadi, Rambozzi® cakap, "OK, boleh sangat. Rambozzi® sangat berminat. Jadi, 'you' nak Rambozzi® buat apa?" 

Dia cakap, "'Bench' pun OK, sesuai untuk konsep perabot 'outdoor' dan asalkan mudah untuk pembaca majalah kami cuba membuatnya sendiri...". 

Rambozzi® tak cakap banyak terus ya kan je la hehehe. Rambozzi® rasa, tak susah sangat...kot. Rambozzi® tunjukkan 'design' yang Rambozzi® rasakan agak mudah dan ringkas kepadanya - dan dia bersetuju.

Ok. Jadi. So. Tanpa membuang masa lagi - dengan penuh semangat dan senyuman "di bibir" dan juga "di hati" - jom mulakan 'woodworking' kali ini - Bara Rambozzi®. Heh heh heh heh...

"Nama Bara Rambozzi® itu Rambozzi® pilih sebab projek ini telah membuatkan "hati dan perasaan" Rambozzi® sangat "membara". Dan secara kebetulan pula, ketika Rambozzi® sedang 'woodworking' untuk projek ini, Rambozzi® memang sedang layan lagu Bara - nyanyian siapa lagi kalau bukan Awie! Hahahahaha..."


Ok. Rambozzi® mulakan dengan memotong kayu² di atas kepada saiz² yang diperlukan untuk projek ini. Bara Rambozzi® ini tidaklah besar sangat. Emmm....jap Rambozzi® cari balik di mana 'design' SketchUpnya tu...


Ok. Itulah dia 'design'nya. Satu 'design' yang memang sangat ringkas, dan Rambozzi® rasa, ia sesuai untuk konsep 'D.I.Y', juga sesuai untuk konsep 'outdoor' dan memang boleh dicuba buat oleh sesiapa sahaja - cukup dengan hanya beberapa peralatan tangan yang asas.

Rambozzi® pilih warna merah itu sebab warna itu adalah warna "cinta" dan "hati" Rambozzi®. Warna merah itu adalah "bara cinta" Rambozzi®. Warna merah itu adalah "semangat hati" Rambozzi. Warna merah itu juga adalah "kesayangan" Rambozzi®. Warna merah itu adalah "my woodworking", "my heart", "my love"...


Ok. Seperti biasa, Rambozzi® akan bina 'bench' ini dengan menggunakan teknik 'pocket hole joinery'. Tidak kisahlah sama ada menggunakan KREG® Jig K5 seperti di dalam gambar di atas ataupun KREG® Jig R3. Kalau beberapa tahun yang lalu, produk KREG® ini memang agak sukar untuk didapati di Malaysia. Tapi sekarang produk ini sudah mula "membanjiri" pasaran Malaysia dengan harga mampu milik. KREG® Jig ini adalah antara 'tools' yang memang khusus untuk kerja² 'woodworking' secara 'D.I.Y'. 

Jadi, Rambozzi® tebuk terlebih dahulu lubang² 'pocket hole'.


Mula² Rambozzi® akan pasangkan kayu² untuk bahagian kaki 'bench' ini dahulu. Sebatang kayu Rambozzi® letakkan di antara kayu² yang akan membentuk kaki ini sebagai 'spacer' supaya jaraknya sama. Rambozzi® gam dan skrukan kesemua kayu di atas.


Ok. Gambar di atas adalah 2 bahagian kaki untuk 'bench' ini.


Di bahagian bawah 'bench' ini ada satu rangka yang berfungsi sebagai ermmm... ok ini agak bermasalah untuk Rambozzi® berikan istilah yang tepat hehehehehe. Bahagian rangka itu akan menguatkan struktur binaan 'bench' ini. Di bawah setiap kayu untuk tempat duduk akan diskrukan sebatang kayu sebagai penguat agar ia dapat menampung beban penggunanya nanti.


Kesemua bahagian kayu untuk bahagian bawah 'bench' ini dipasang dengan menggunakan gam kayu dan skru juga. Kemudian bahagian ini digam dan diskrukan pula ke kaki 'bench', dan juga ke bahagian tempat duduknya. Rambozzi® yakin, binaan ini cukup kuat dan teguh.


Ok. Itulah proses pemasangan untuk 'bench' ini. Memang sangat ringkas dan mudah. Tidak ada sebarang teknik yang sukar untuk diikuti. Satu teknik pemasangan yang sangat asas.


Seterusnya, Rambozzi® 'sanding' keseluruhan 'bench' ini dengan menggunakan kertas pasir grit 240. Sekarang tibalah masanya untuk proses mengecat pula. Rambozzi® tampalkan terlebih dahulu 'masking tape' di kayu² yang tidak akan dicat - supaya tidak terkena cat pula nanti.


Rambozzi® mulakan dengan menyapu satu lapisan cat 'undercoat' terlebih dahulu. Rambozzi® nak dapatkan warna merah yang 'solid' dan berkilat. Ok. Ini adalah antara teknik Rambozzi® - yang paling banyak ditanya oleh pembaca blog Rambozzi® ini. Kali ini Rambozzi® akan tunjukkan langkah² yang Rambozzi® gunakan. 'Step-by-step'.


Selepas kering lapisan 'undercoat' tadi, Rambozzi® 'sanding' pula dengan menggunakan 'sanding block' grit 150. Kemudian, Rambozzi® cat pula lapisan pertama cat minyak berwarna merah. Rambozzi® biarkan ia kering selama 6 jam. Kemudian, Rambozzi® 'sanding' lapisan pertama cat tadi dengan 'sanding block' grit 150.


Gambar di atas menunjukkan hasilnya selepas lapisan pertama cat tadi di'sanding'.


Rambozzi® cat pula lapisan kedua. Dapat dilihat dengan jelas di dalam gambar di atas, hasil catnya semakin cantik, halus dan berkilat. Tapi jika dirasa dengan tangan, masih terasa sedikit kasar permukaannya kerana masih ada buih² di dalam kayu yang timbul dari permukaan kayu itu. Ok. Lapisan kedua cat ini Rambozzi® biarkan kering selama 6 jam juga.


Kemudian, Rambozzi® 'sanding' sekali lagi tetapi kali ini dengan menggunakan 'sanding block' grit 240 pula. Gambar di atas menunjukkan kesannya apabila lapisan kedua cat itu di'sanding'. Oh ya! Tidak perlulah di'sanding' dengan kasar sehingga tertanggal catnya. Cukup dengan gosokan yang halus untuk merata dan melicinkan permukaan kayu sahaja.


Dan Rambozzi® cat pula lapisan ketiga. Kali ini hasilnya cukup memuaskan hati Rambozzi®. Cukup halus, licin, sekata dan berkilat.

Sebenarnya, ini teknik Rambozzi®. Ada 'woodworker' yang boleh mendapat hasil cat yang cantik dengan hanya satu lapisan cat sahaja! Oh! Rambozzi® masih belum sampai ke tahap itu! Heh heh heh heh.....


...behind the scene...


Ok. Untuk 'entry' kali ini, Rambozzi® nak "belanja" beberapa gambar Rambozzi® heh heh heh heh. Rambozzi® malu juga sebenarnya, tapi ini adalah sesuatu yang amat "besar" bagi Rambozzi®. Rambozzi® nak "abadikan" kenangan "keindahan" pengalaman ini di dalam blog Rambozzi® ini. Sesi penggambaran ini adalah sesuatu yang "sangat berharga" bagi Rambozzi®. Ini adalah satu pengalaman yang "tak akan Rambozzi® lupakan".

Rambozzi® kongsikan beberapa gambar 'behind the scene' ketika penggambaran ini dijalankan. Lihat gambar di atas, Rambozzi® nie tidaklah "sekatang" Rambo tu heh heh heh heh. Kecik je Rambozzi® nie... Sebab tu, Rambozzi® tidak pernah tunjukkan gambar Rambozzi® di dalam blog ini, apatah lagi di komuniti Pertukangan Kayu D.I.Y Malaysia. Pernah sekali je dulu, tapi Rambozzi® dah 'delete'. Rambozzi® malu. Hahahahahahaha....


Rambozzi® hanya mengikut sahaja 'skrip' yang sudah disediakan oleh 'crew' majalah ini. Rambozzi® biarkan mereka bekerja dengan cara mereka dan Rambozzi® berikan kerjasama yang sebaik mungkin.


Ok, berpandukan gambar di atas, itulah 'attire' Rambozzi® ketika 'woodworking'. Pakaian ketika 'woodworking' juga perlu dijaga ya, puan². Kita tak boleh pakai pakaian yang bertali², atau labuh, atau kemeja lengan panjang yang tidak disinsing lengannya, kerana ada risiko pakaian yang 'loose' sebegitu akan termasuk ke dalam putaran 'power tools' yang sedang berputar pada kelajuan yang tinggi. Itu juga antara faktor keselamatan yang perlu diambil kira di dalam kerja² yang melibatkan penggunaan mesin berbahaya seperti di dalam 'woodworking' ini. Dan ya. Jangan cuba² la nak pakai kain pelikat kalau tengah buat 'woodworking' ya! Jangan! 'Please' jangan! Dibuatnya kain pelikat tu terbelit kat mata 'circular saw' (sebagai contoh) - aduh memang boleh hilang terus kain tu dimakan dek mata gergaji tu, bro! Hahahahaha! Naya nanti! Bala bala bala...





"Bara yang panas membara
Sanggup kugenggami jua
Namun kutempuhi dengan rela
Tak kupeduli..."


Ok. Memang agak "membara" warna merahnya. Sebuah 'bench' yang "sangat cantik di mata Rambozzi®". Sangat ringkas dan sangat kemas - bagi Rambozzi® la kan hehehe. Dan ya, sangat Rambozzi®!


Rambozzi® amat berpuas hati dengan Bara Rambozzi® ini. Projek ini memang tidak susah. Projek seperti ini boleh dibuat oleh sesiapa sahaja. Projek ini hanya pada tahap "amatur" sahaja. Rambozzi® masih "amatur". Ini adalah yang terbaik yang boleh Rambozzi® berikan sesuai dengan kepakaran Rambozzi® setakat hari ini. Masih terlalu banyak yang perlu Rambozzi® pelajari. Masih terlalu banyak kelemahan di dalam kerja² 'woodworking' Rambozzi®. Masih terlalu banyak...

Ok. Di kesempatan ini, Rambozzi® ingin merakamkan jutaan TERIMA KASIH kepada Cik Azimah dan Abang Jasmi atas peluang yang diberikan kepada Rambozzi® ini. Sebarang keputusan untuk memasukkan projek ini ke dalam majalah mereka adalah di luar bidang kuasa Rambozzi®. Kalau hasil kerja ini sesuai untuk dimuatkan ke dalam majalah mereka, ini adalah satu penghormatan kepada Rambozzi®. Kalau projek ini tidak menepati konsep yang mereka kehendaki, Rambozzi® berpuas hati dapat memberikan kerjasama yang terbaik kepada mereka.

Sekarang, Rambozzi® hanya perlu tunggu sahaja sehingga Bara Rambozzi® ini muncul di dalam majalah mereka. Harapan Rambozzi® agar projek ini akan disukai dan akan masuk dalam majalah tu la kan heh heh heh heh. Dan kalau muncul di dalam majalah itu nanti, Rambozzi® akan kongsikan di sini. Sebab.....

Di sinilah "dunia" Rambozzi®. Di sinilah "hidup" Rambozzi®. Di sinilah "hati" Rambozzi®. Dan di sini jugalah "cinta" Rambozzi®...



"Semalaman ku tak lena
Bayangmu menjelma..."




Sementara nak menunggu "beberapa" projek besar tu siap, Rambozzi® rasa, baik Rambozzi® kemaskan sedikit studio Rambozzi® nie. Rambozzi® sekarang agak "serabut perut" melihat keadaan studio Rambozzi® yang "bagai dilanggar geroda" nie. Heh heh heh heh... Rambozzi® rasa, Rambozzi® kena buat sedikit aktiviti 5S. Lagipun, dalam masa terdekat ini, ada "tetamu istimewa" yang akan datang "melawat" studio Rambozzi® nie. Oh maaf! Itu akan Rambozzi® ceritakan di sini bila tiba masanya nanti. One day...


Ok. Makin lama Rambozzi® nie menjadi 'woodworker', makin banyak 'power tools' yang dah Rambozzi® beli. Dan makin banyak juga yang jenis 'cordless tools' dah Rambozzi® miliki. Bila disebut 'cordless power tools', ia semestinya datang dengan pengecasnya sekali. Kalau 1 ok lagi, tapi bila dah ada 4 'cordless power tools', maka akan ada 4 jugalah pengecasnya. Dan ini agak "menyesakkan" mata Rambozzi® juga sebenarnya...

Jadi, Rambozzi® "paksa" otak Rambozzi® ini memikirkan satu penyelesaian untuk permasalahan ini. Dan Rambozzi® mendapat satu ilham untuk membuat satu kotak khas untuk diletakkan kesemua pengecas ini dengan kemas. Ok, tanpa membuang masa lagi, jom mulakan 'woodworking' kali ini - Rambozzi® Charging Station.


Seperti biasa, Rambozzi® mulakan dengan menentukan saiz yang sesuai untuk projek ini. Rambozzi® dapatkan ukurannya dan potong kayu² di atas ke saiz² yang diperlukan dengan menggunakan 'slide miter saw'.


Kemudian, Rambozzi® tebuk dahulu lubang² 'pocket hole' untuk proses pemasangan nanti. Ya. Rambozzi® masih "setia" dengan "teknik keramat" Rambozzi® ini kerana teknik ini adalah satu²nya teknik pertukangan kayu yang Rambozzi® tahu dan mahir, setakat ini.


Rambozzi® Charging Station ini akan dibina dari beberapa keping 'panel' kayu yang dicantumkan antara satu sama lain. Kesemua 'panel' di atas dicantumkan dengan menggunakan 'pocket hole joinery'. Rambozzi® hanya gam dan skrukan kesemua bahagian 'panel' kayu di atas.


Kemudian, Rambozzi® cantumkan bahagian² 'panel' itu satu persatu. Rambozzi® mulakan dengan memasang bahagian tapak kotak ini dahulu.


Ok. Itu adalah bahagian pertama untuk projek ini. Bahagian di atas adalah ruangan simpanan untuk kesemua pengecas tadi.


Seterusnya, Rambozzi® gam dan skrukan pula bahagian penutup kotak ini. Oh ya! Kayu² yang Rambozzi® gunakan di dalam projek ini agak unik sebenarnya. Kayu² itu sudah agak lama berada dalam simpanan Rambozzi®. Sengaja Rambozzi® menyimpannya sebab Rambozzi® memang nak guna sendiri je. Hahahahahaha! Cantik kan? Kan...

Tapi, malangnya, cantuman kayu² itu tidak mencukupi untuk menutup permukaan kotak itu (lihat anak panah merah di dalam gambar di atas). Tak apa. Memang Rambozzi® dah tahu semasa menentukan kayu² yang sesuai untuk projek ini sebelum bermula lagi. Dan memang Rambozzi® dah ada penyelesaiannya.


Ok. Rambozzi® akan tambahkan 2 batang lagi kayu ke kedua² hujung bahagian penutup tadi. Rambozzi® ukur dan dapatkan saiz yang perlu ditambah dan belah kayu di atas dengan menggunakan 'jigsaw'. Kayu² itu hanya dibelah secara kasar sahaja. Rambozzi® akan dapatkan saiz yang lebih tepat dengan menggunakan 'drill press' yang dipasangkan 'drum sander' pula. Ya! Ketiadaan 'table saw' untuk membelah kayu ke saiz² yang Rambozzi® perlukan bukanlah penghalang kepada Rambozzi®. Rambozzi® boleh mencuba cara yang lain - walaupun mungkin agak lambat dan susah.


Ok. Kayu yang siap dibelah tadi Rambozzi® 'sanding' pula untuk mendapatkan saiz yang lebih tepat. 'Drill press' di atas Rambozzi® pasangkan 'drum sander'. Kayu yang Rambozzi® 'clamp'kan ke 'drill press table' itu sebenarnya berfungsi untuk memastikan supaya kayu yang di'sanding' tidak bergerak² dan Rambozzi® boleh mengawal saiz kayu itu. Ia berfungsi sebagai 'guide fence' yang boleh diubah kedudukannya mengikut ketebalan kayu yang kita hendak dapatkan.


Anak panah merah di dalam gambar di atas menunjukkan jarak di antara 'drum sander' dengan kayu 'guide fence' tadi. Jarak di antara keduanya itu akan menentukan saiz yang kita nak.


Ok. 2 batang kayu tadi Rambozzi® hanya gamkan sahaja ke kedua² hujung bahagian penutup tadi. Dan ya, ia tepat dan sesuai dengan kotak itu.


Seterusnya, Rambozzi® bulatkan sedikit bahagian penutup ini dengan menggunakan 'mini router/trimmer' yang dipasangkan 'roundover router bit'.


Ok. Untuk membolehkan wayar² dari kesemua pengecas tadi keluar dari kotak ini dengan kemas, Rambozzi® akan tebuk 1 lubang khas. Rambozzi® gunakan DREMEL® Multipro 395 milik Rambozzi® yang dipasangkan 'sanding band'. Rambozzi® hanya 'sanding' sahaja di tengah² kayu tersebut sehingga mendapat kedalaman lubang yang Rambozzi® nak.


Ok. Itu sudah cukup untuk wayar² itu keluar dari kotak dengan kemas. Seterusnya, Rambozzi® akan pasangkan 2 engsel dan 1 'drawer knob' pada penutup kotak ini. Rambozzi® akan 'sanding' dahulu keseluruhan permukaan kotak ini dengan menggunakan kertas pasit 150 grit.


Dan siap! Cukup ringkas, cukup mudah dan cukup kemas.





Ok. Gambar di atas menunjukkan ruangan di dalam kotak ini. Sebenarnya, Rambozzi® bercadang nak lekatkan 3 batang kayu di bahagian dalam kotak ini sebagai 'divider' untuk kesemua pengecas itu. Tapi, ketika ini baru Rambozzi® sedari bahawa Rambozzi® telah tersalah ukur! Hahahahahahaha! Hanya 2 batang kayu sahaja yang boleh dilekatkan sebagai 'divider'. Nasib baik ruangannya mencukupi untuk diletakkan kesemua pengecas itu dengan kemas. Hahahahaha! Ya, Rambozzi® akui, kita memang boleh 'design' dan merancang projek 'woodworking' ini dengan teliti dan berhati². Tapi kadang² kecuaian dan kealpaan boleh merosakkan projek kita. Rambozzi® memang dah ukur dengan cermat dan teliti sebelum memotong kayu tadi. Tapi, tersilap jugak! Ini bukan salah 'measuring tape' atau 'slide miter saw'. Ini silap Rambozzi® sendiri. Jiwa kacau kot... Heh heh heh heh...

Rambozzi® kongsikan kesilapan Rambozzi® di sini supaya ianya boleh dijadikan panduan kepada sesiapa sahaja 'woodworker' yang membaca blog Rambozzi® ini. Steve Ramsey cakap, "my incompetence saving you time and money..." Ntah ye ke tidak Rambozzi® eja tu. Heh heh heh heh...


Ok. Wayar² pengecas tadi juga "berjaya" keluar dari kotak ini dengan kemas. Untuk mengelakkan kekeliruan bila nak mengecas 'cordless power tools' nanti, Rambozzi® ikatkan wayar² itu dengan dua pengikat yang berlainan warna. Pengikat yang berwarna kelabu di dalam gambar di atas adalah untuk pengecas kedua² 'cordless drill' Rambozzi®. Manakala pengikat yang berwarna hitam itu pula adalah untuk wayar pengecas 'cordless circular saw' dan 'cordless screwdriver' Rambozzi®. Hmmm... Mungkin Rambozzi® perlu labelkan setiap wayar itu supaya Rambozzi® tidak terkeliru nanti. Tapi, tak apa, itu kemudian nanti la hahahaha.

Ok. Projek Rambozzi® Charging Station ini adalah satu projek 'woodworking' yang sangat ringkas dan mudah. Bagi Rambozzi®, kotak ini cukup kemas. Rambozzi® suka sesuatu yang kemas, teratur dan "cantik dipandang mata". Rambozzi® juga suka Rambozzi®. Rambozzi® bangga menjadi Rambozzi® ini. Rambozzi® harap, "uolls" juga bangga dengan Rambozzi® nie heh heh heh heh heh....



"Kedamaian yang kucari,
masih belum terbukti,
jauh lagi perjalanan ini..."


Halamak... Awie tuh!!! Hahahahaha! Sebenarnya bukan kedamaian yang Rambozzi® cari sekarang nie, tapi kayu sebenarnya heh heh heh heh... "Kedamaian" tu Rambozzi® "dah ada" dah hehehehehe... Rambozzi® masih belum boleh buat beberapa projek sebab dah kehabisan stok kayu. Anak panah merah di dalam gambar di atas menunjukkan baki saiz kayu yang tinggal dalam simpanan Rambozzi® heh heh heh heh... Takpe, sementara tu Rambozzi® akan buat projek lain yang tak guna banyak kayu dulu.

Ok. Rimy, yang tempah Wooden Crates Rimy sebelum ini meminta Rambozzi® buatkan satu 'signage' pula untuknya. Rimy tunjukkan contoh 'design'nya dan berikan ukurannya kepada Rambozzi®. Tidak susah sangat dan Rambozzi® yakin boleh membuatnya. Jadi, tanpa membuang masa lagi - sambil mendengar lagu² dendangan Awie - jom mulakan 'woodworking' kali ini - Wooden Sign Rimy. Jom abg Awie! Hehehehehehehe.....


Ok ok sori bang!


Ok. Rambozzi® mulakan dengan memotong kayu untuk dijadikan tiang projek ini dahulu. Saiz kayu di atas adalah 1x2 dan panjangnya adalah lebih kurang 4 kaki.


Kemudian Rambozzi® potong pula 4 bahagian kecil untuk dijadikan tapak 'signage' ini. Saiz kayu² di atas sebenarnya Rambozzi® main agak² sahaja. Tapi, bukan main hentam je tau! Hahahahaha!


Kemudian Rambozzi® tebuk pula lubang² 'pocket hole' pada setiap kayu untuk bahagian tapak ini.


Rambozzi® potong pula 4 lagi bahagian kayu untuk dijadikan 'support' kepada tiang tadi. Kayu² di atas Rambozzi® potong pada 'miter' 45° di kedua² hujungnya.


Dan Rambozzi® tebuk juga lubang² 'pocket hole' pada setiap kayu² tersebut untuk memudahkan proses pemasangannya nanti.


Ok. Seterusnya, Rambozzi® potong 3 lagi keping kayu untuk dijadikan penunjuk arah atau 'sign' tu la kan hahahaha. Kesemua kayu di atas adalah sepanjang 40 cm dengan salah satu hujungnya dipotong pada 'miter' 45°.


Ketiga² kayu penunjuk arah itu akan diskrukan ke tiang tadi. Rambozzi® tandakan terlebih dahulu tempat² yang sesuai untuk diskrukan kayu² itu nanti. Rambozzi® dapatkan juga garisan tengahnya untuk memastikan kayu² itu diskrukan dengan tepat dan kemas ke tempat²nya.


Kemudian, Rambozzi® tebuk pula lubang² 'pilot hole' pada tiang dan ketiga² penunjuk arah tadi.


Ok. Sekarang ke proses pemasangan. Pertama sekali, Rambozzi® gam dan skrukan dahulu kayu tapak ke tiangnya.


Ok. Itu kayu pertama untuk tapak 'signage' ini. 3 lagi!


Dan siap! Ini adalah antara kelebihan menggunakan teknik sambungan 'pocket hole'. Teknik ini memang membantu kita memasang atau membuat sambungan kayu dengan sangat mudah dan cepat.


Ok. Dah siap bahagian pertama untuk projek ini.


Seterusnya, Rambozzi® gam dan skrukan pula kayu² 'support' kepada tiang tadi. Memang! Asalnya Rambozzi® nak skrukan 4 batang kayu 'support' itu. Tapi bila dah siap skrukan 2 batang kayu itu, Rambozzi® rasa, ia dah mencukupi untuk menyokong kayu tiang itu. Lagipun, tiang itu tidak berat sangat, walaupun ditambah beban dari 3 lagi kayu penunjuk arah nanti. Jadi, 2 kayu 'support' itu sudah mencukupi.


Ok. Begitulah rupanya sekarang...


Seterusnya, Rambozzi® skrukan pula kayu² penunjuk arah tadi. Kayu² ini Rambozzi® tidak akan gam supaya ia boleh diubah² kedudukan arahnya nanti. Hanya 1 skru diperlukan. Rimy boleh ketatkan skru itu dengan hanya menggunakan pemutar skru sahaja. Tidak perlu beli 'cordless drill'. Tapi, kalau Rimy nak beli juga lagi bagus - beli yang sama macam Rambozzi® tau? Heh heh heh heh...


Dan siaplah projek Wooden Sign Rimy ini. Projek yang sangat ringkas dan mudah - selari dengan 'tagline' Rambozzi® hehehehehe... Keseluruhan projek ini Rambozzi® hanya 'sanding' sahaja supaya halus permukaannya. Wooden Sign Rimy ini tidak akan dicat dengan sebarang kemasan.


Anak panah penunjuk arah itu boleh diubah kedudukannya mengikut kesesuaian Rimy nanti.


Ok. Rambozzi® "wassap" gambar di atas kepada Rimy dan Rambozzi® rasa Rimy suka sebab Rimy hanya 'reply' tanda 'good' itu sahaja hahahaha. Rambozzi® harap, Rimy suka dan berpuas hatilah dengan hasil kerja Rambozzi® ini. Rambozzi® rasa, Rimy "terpaksa" suka sebab Awie pun suka, kan? Hahahaha! Oh! Awie dan Wings adalah antara 'rockers' kegemaran Rambozzi®! Dan dorang memang ROCK!




Newer Posts Older Posts Home
Powered by Blogger.

Rambozzi Love

srambozzi@gmail.com
facebook.com/srambozzi
instagram.com/rambozzi
youtube.com/c/withLoveRambozzi

016-952 7489

Featured Post

Sinar Cahaya 2021?

Hai! Lama betul Rambozzi tidak menulis di blog kesayangan ramai ni kan? Hai awak! Hmmm... Rambozzi tak tahu nak mulakan dari mana. Rambozzi ...

Search This Blog

Archive

  • ▼  2021 (6)
    • ▼  April 2021 (1)
      • Kabinet Kecil Bilik Air
    • ►  February 2021 (4)
    • ►  January 2021 (1)
  • ►  2019 (1)
    • ►  December 2019 (1)
  • ►  2016 (9)
    • ►  November 2016 (2)
    • ►  September 2016 (1)
    • ►  June 2016 (1)
    • ►  May 2016 (3)
    • ►  March 2016 (2)
  • ►  2015 (53)
    • ►  November 2015 (3)
    • ►  October 2015 (3)
    • ►  September 2015 (3)
    • ►  August 2015 (3)
    • ►  July 2015 (6)
    • ►  June 2015 (1)
    • ►  May 2015 (5)
    • ►  April 2015 (6)
    • ►  March 2015 (7)
    • ►  February 2015 (6)
    • ►  January 2015 (10)
  • ►  2014 (74)
    • ►  December 2014 (15)
    • ►  November 2014 (4)
    • ►  October 2014 (4)
    • ►  September 2014 (9)
    • ►  August 2014 (4)
    • ►  July 2014 (2)
    • ►  June 2014 (5)
    • ►  May 2014 (11)
    • ►  April 2014 (7)
    • ►  March 2014 (6)
    • ►  February 2014 (5)
    • ►  January 2014 (2)
  • ►  2013 (59)
    • ►  December 2013 (9)
    • ►  November 2013 (2)
    • ►  October 2013 (1)
    • ►  September 2013 (1)
    • ►  July 2013 (2)
    • ►  June 2013 (3)
    • ►  May 2013 (6)
    • ►  April 2013 (10)
    • ►  March 2013 (2)
    • ►  February 2013 (23)
  • ►  2012 (17)
    • ►  March 2012 (17)

Copyright © Rambozzi, Love & Woodworking.... Designed & Developed by OddThemes